BAB 6
ASFAHAN merenung
ke luar jendela. Tenang pula cuaca pada malam ini. Bayu yang berhembus lembut
ke wajahnya itu dibiarkan terbang masuk ke dalam kamar hotel itu. Biar segar
sedikit suasana ruangan yang kian meruwap ini.
Kepalanya menoleh ke atas langit
hitam yang terbentang seluas saujana mata memandang. Kerdipan bintang-bintang
yang menabiri malam itu menambahkan syahdu di hatinya. Damai sungguh terasa
hati ini, bagaikan bersatu semuanya bersama alam sekeliling. Subhanallah!
Sesungguhnya ciptaan TUHAN memang tiada tolok bandingnya. Asfahan terus-terusan
memuji keindahan alam sambil menginsafi dirinya dengan kekuasaan ALLAH Yang
Maha Esa.
Tidak lama kemudian dia mengeluh.
Jendela yang terbuka luas itu ditutup semula. Hatinya tidak tenteram. Mungkin
untuk seketika waktu, ya. Tetapi bukan untuk jangka waktu yang lama. Dia sering
teringat-ingat akan segala dosa lampaunya yang tidak boleh dihadam oleh akalnya
sendiri. Dosa-dosa itu bagaikan menghantui dirinya dari terus maju ke hadapan
dan membuat segala keputusan. Sungguh dia manusia yang khilaf. Sungguh selagi
dia masih tergantung dengan permasalahan ini, dia tidak mungkin akan menjalani
hidup dengan tenang!
Tetapi entah mengapa semenjak dia
bertemu Jelita, dia seakan-akan terlupa seketika dengan permasalahan itu.
Asfahan seperti orang dahaga yang bertemu dengan oasis, terleka dengan nikmat
bertemu air itu sehinggakan dia terlupa masih ada perjalanan yang jauh
menantinya di hadapan.
Asfahan kembali ke birai katilnya. Dia
menekur wajahnya sambil memejamkan mata. Ya ALLAH, begitu banyak khilafku…
mengapa aku masih mahu bermain dengan api? Mengapa aku bagaikan orang yang tak
serik dengan permasalahan yang menimpaku? Adakah ia kerana… cinta? Aku cintakan
dia? Tetapi cintakah dia kepadaku? Nadya pula bagaimana?
Badannya dibaringkan ke katil
bercadar satin putih itu. Asfahan perlahan-lahan memejamkan mata. Bayangan
wajah Jelita yang tersenyum indah kian menerangi pandangan. Benarkah aku
cintakan dia? Jikalau benar, berikanlah petunjuknya, Ya TUHAN!
***
“WANITA secantik awak tak ada boyfriend? Boleh percaya ke?”
Kata-kata milik Asfahan semasa makan
malam tadi masih bergema di telinganya. Seakan-akan suatu kalimah yang membakar
jiwanya setiap kali kata-kata tersebut terlintas di fikiran. Dia tahu apa
sebabnya. Malah dia juga tahu bara api yang membakar jiwa ini makin lama makin
membesar. Suatu masa nanti, sekam ini akan berubah menjadi api besar yang bakal
memakan dirinya sendiri.
Jelita merenung cermin bulat yang
tergantung di atas meja solek itu. Kapas yang berada di tangan dipedap-pedap ke
muka. Ini memang rutin hariannya. Mengenakan toner ke wajah lalu memakai krim
malam sebagai penutup sebelum dia
melelapkan mata. Baginya penjagaan wajah itu begitu penting. Ia asset dirinya.
Ia adalah perisai baginya. Ia adalah… adalah kebanggaan dirinya!
Kapas yang digunakan untuk memedap
wajah tadi dibuang ke dalam bakul sampah disebelah meja solek itu. Bekas bulat
berisi krim malam itu digapai pula. Tangannya mula mengoles krim tersebut
perlahan-lahan ke dagu dan kemudian naik ke kiri dan kanan tulang pipi. Setelah
selesai dengan sapuan krim tersebut, Jelita beredar dari meja solek dan terus
ke katil.
Badannya perlahan-lahan direbahkan.
Selimut ditarik rapat. Namun matanya masih tidak dapat dilelapkan. Wajah
Asfahan masih terbayang-bayang di kotak fikirannya. Kata-kata lelaki itu,
perilakunya serta bagaimana emosinya ketika Jelita sampai lewat tadi. Kenapa
dia serius sangat? Benarkah lelaki itu ada hati padanya? Jikalau benar….
Kata hati Jelita terdiam seketika.
Banyak perkara yang bergelumang di mindanya. Jikalau benar Asfahan menyukainya…
ini bermakna dia telah berjaya. Berjaya menakluk hati seorang lelaki. Lelaki
seperti Asfahan Redza!
***
LANGIT
mendung pada tengahari itu. Sheriena yang sedang sibuk mengangkat beg tariknya
keluar dari but kereta meliarkan mata pada sekeliling perkarangan banglo
rumahnya.
“Mana pulaklah Pakcik Kassim ni?
Bukannya nak tolong orang angkat beg ni semua,” rungutnya perlahan. Beg yang
berhasil dikeluarkan dari but kereta tersebut ditarik masuk ke dalam rumah.
Ruang tamu kelihatan kosong.
Sheriena menapak masuk ke ruang makan pula. Kelihatan Mak Cik Fuziah sibuk
mengemas meja makan.
“Mak cik! Amboi sibuk mengemas
sampai tak sedar saya balik ke?” tegur Sheriena. Dia seterusnya memeluk Mak Cik
Fuziah dari belakang dengan erat. Pembantu rumah itu bagaikan ibu kepadanya
semenjak kematian ibu angkatnya, Puan Khalisa.
“Eh? Laa dah balik ke Sherie??” Mak
Cik Fuziah mengalihkan badannya dan membalas pelukan Sheriena. Rindunya dia
pada anak gadis ini.
“Cuti sem lah mak cik… Dua bulan
tau!” Pelukan dileraikan. Sheriena meliarkan matanya lagi di sekeliling ruangan
rumah. “Linda mana?”
“Datin Linda Kamilla? Ada kat atas
tu..” jawab Mak Cik Fuziah sambil menjuihkan bibirnya.
“Tak bangun lagi lah tu ye?”
“Dia balik lambat semalam. Datuk pun
dah balik dulu dah.” Mak Cik Fuziah memperlahankan nada suaranya. Takut pula
ada yang mencuri-curi dengar.
“Iye ke? Haih… tak ubah-ubahlah
perangai dia tu. Dari awal kahwin sampai sekarang. Eii malas saya nak
bertembung muka dengan dia.”
“Tak apalah.. apa kata kalau Sherie
pergi tukar baju, lepas tu turun bawah tolong makcik masak nak? Kita masak menu
favorite papa kamu, ayam goreng
berempah!”
“Okay
set! Lagi sepuluh minit saya turun!” jawab Sheriena sambil mengenyitkan
matanya ke Mak Cik Fuziah.
***
JELITA
menatap jam tangan Swatch yang berlingkar di tangannya. Mana dia ya? Dah pukul lapan
pagi. Selalunya pukul tujuh dah tercongok kat depan café ni. Takkanlah dah
serik nak jumpa dengan aku kut?
Pelik. Hari ini bukan Asfahan yang
selalu tercari-cari akan dirinya tetapi Jelita pula yang begitu. Ini memang
suatu perubahan pelik yang sedang berlaku ke atas dia. Selalunya dia tidak pula
begini. Takkanlah dia pula tiba-tiba sudah mula jatuh rindu dengan Asfahan?
Jelita menggeleng-gelengkan. Dia
harus lebih pandai menguruskan soal hati dan perasaan. Jikalau dia mudah jatuh
cinta, alamatnya mudahlah juga dia jatuh ke lembah derita.
Jus oren yang masih tidak terusik
itu dihirupnya. Nak buat apa ya pagi ni? Rasanya banyak lagi tempat yang belum
dia terokai di Cappadocia ini. Bukan senang nak datang ke mari lagi. Jikalau
kerja dah menimbun nanti, nak jenguk tiket penerbangan secara online pun tak sempat!
“Hai! Awal sampai café hari ni…
Tunggu saya ye?”
Terbantut seketika hirupan jus oren
dari terus membasahi tekak. Asfahan! Datang jugak dia ni ya!
“Hai… Tak sangka pulak awak lambat
hari ni?” sindir Jelita.
“Eh… Awak tu yang awal sangat kut.
Makan apa? Hari ni nak ke mana?” Asfahan seperti biasa mengajukan
persoalan-persoalannya itu dengan selamba pada Jelita. Macam wartawan gossip
sepenuh masa!
“Tak seleralah nak breakfast… emm tak tahu nak ke mana lagi
ni,” jawab Jelita dengan nada yang acuh tidak acuh. Walhal dia begitu tidak
sabar ingin mendengar cadangan Asfahan tentang tempat mana yang boleh mereka
kunjungi di Cappadocia ini.
“Oh…” Asfahan tersenyum. “Hmm saya
ingat nak menjelajah kota Cappadocia ni. Nak ikut?”
“Menjelajah? Awak nak sewa kereta
ke?”
“Taklah, nak naik skuter. Awak nak join?” Asfahan berharap Jelita akan
menerima ajakkannya. Dia masih belum puas bersembang dengan gadis ini.
“Skuter? Tapi…” Jelita mengerutkan
dahinya. Alahai! Apa hal pulak nak naik skuter ni? Mana aku reti naik skuter!
“Tapi… tak pandai bawak skuter?”
jawab Asfahan. Dia menyeringaikan giginya yang lurus berbaris itu. “Naik dengan
saya? Saya janji bawak perlahan-lahan. Tapi awak kena pegang seat skuter tu elok-eloklah. Karang
terjatuh pulak.”
Jelita mengangguk laju. Nampaknya
dia dah macam terpaksa akur pula dengan cadangan Asfahan. Apa kena dengan
dirinya ni? Sihir apa pulalah mamat ini dah kenakan ke atas dirinya. Jelita wake up! Wake up!