Sunday, March 16, 2014

LARA JELITA - Wanita secantik awak tiada boyfriend?



BAB 6

ASFAHAN merenung ke luar jendela. Tenang pula cuaca pada malam ini. Bayu yang berhembus lembut ke wajahnya itu dibiarkan terbang masuk ke dalam kamar hotel itu. Biar segar sedikit suasana ruangan yang kian meruwap ini.
            Kepalanya menoleh ke atas langit hitam yang terbentang seluas saujana mata memandang. Kerdipan bintang-bintang yang menabiri malam itu menambahkan syahdu di hatinya. Damai sungguh terasa hati ini, bagaikan bersatu semuanya bersama alam sekeliling. Subhanallah! Sesungguhnya ciptaan TUHAN memang tiada tolok bandingnya. Asfahan terus-terusan memuji keindahan alam sambil menginsafi dirinya dengan kekuasaan ALLAH Yang Maha Esa.
            Tidak lama kemudian dia mengeluh. Jendela yang terbuka luas itu ditutup semula. Hatinya tidak tenteram. Mungkin untuk seketika waktu, ya. Tetapi bukan untuk jangka waktu yang lama. Dia sering teringat-ingat akan segala dosa lampaunya yang tidak boleh dihadam oleh akalnya sendiri. Dosa-dosa itu bagaikan menghantui dirinya dari terus maju ke hadapan dan membuat segala keputusan. Sungguh dia manusia yang khilaf. Sungguh selagi dia masih tergantung dengan permasalahan ini, dia tidak mungkin akan menjalani hidup dengan tenang!
            Tetapi entah mengapa semenjak dia bertemu Jelita, dia seakan-akan terlupa seketika dengan permasalahan itu. Asfahan seperti orang dahaga yang bertemu dengan oasis, terleka dengan nikmat bertemu air itu sehinggakan dia terlupa masih ada perjalanan yang jauh menantinya di hadapan.
            Asfahan kembali ke birai katilnya. Dia menekur wajahnya sambil memejamkan mata. Ya ALLAH, begitu banyak khilafku… mengapa aku masih mahu bermain dengan api? Mengapa aku bagaikan orang yang tak serik dengan permasalahan yang menimpaku? Adakah ia kerana… cinta? Aku cintakan dia? Tetapi cintakah dia kepadaku? Nadya pula bagaimana?
            Badannya dibaringkan ke katil bercadar satin putih itu. Asfahan perlahan-lahan memejamkan mata. Bayangan wajah Jelita yang tersenyum indah kian menerangi pandangan. Benarkah aku cintakan dia? Jikalau benar, berikanlah petunjuknya, Ya TUHAN!

***
  “WANITA secantik awak tak ada boyfriend? Boleh percaya ke?”
            Kata-kata milik Asfahan semasa makan malam tadi masih bergema di telinganya. Seakan-akan suatu kalimah yang membakar jiwanya setiap kali kata-kata tersebut terlintas di fikiran. Dia tahu apa sebabnya. Malah dia juga tahu bara api yang membakar jiwa ini makin lama makin membesar. Suatu masa nanti, sekam ini akan berubah menjadi api besar yang bakal memakan dirinya sendiri.
            Jelita merenung cermin bulat yang tergantung di atas meja solek itu. Kapas yang berada di tangan dipedap-pedap ke muka. Ini memang rutin hariannya. Mengenakan toner ke wajah lalu memakai krim malam sebagai penutup  sebelum dia melelapkan mata. Baginya penjagaan wajah itu begitu penting. Ia asset dirinya. Ia adalah perisai baginya. Ia adalah… adalah kebanggaan dirinya!
            Kapas yang digunakan untuk memedap wajah tadi dibuang ke dalam bakul sampah disebelah meja solek itu. Bekas bulat berisi krim malam itu digapai pula. Tangannya mula mengoles krim tersebut perlahan-lahan ke dagu dan kemudian naik ke kiri dan kanan tulang pipi. Setelah selesai dengan sapuan krim tersebut, Jelita beredar dari meja solek dan terus ke katil.
            Badannya perlahan-lahan direbahkan. Selimut ditarik rapat. Namun matanya masih tidak dapat dilelapkan. Wajah Asfahan masih terbayang-bayang di kotak fikirannya. Kata-kata lelaki itu, perilakunya serta bagaimana emosinya ketika Jelita sampai lewat tadi. Kenapa dia serius sangat? Benarkah lelaki itu ada hati padanya? Jikalau benar….
            Kata hati Jelita terdiam seketika. Banyak perkara yang bergelumang di mindanya. Jikalau benar Asfahan menyukainya… ini bermakna dia telah berjaya. Berjaya menakluk hati seorang lelaki. Lelaki seperti Asfahan Redza!
***
LANGIT mendung pada tengahari itu. Sheriena yang sedang sibuk mengangkat beg tariknya keluar dari but kereta meliarkan mata pada sekeliling perkarangan banglo rumahnya.
            “Mana pulaklah Pakcik Kassim ni? Bukannya nak tolong orang angkat beg ni semua,” rungutnya perlahan. Beg yang berhasil dikeluarkan dari but kereta tersebut ditarik masuk ke dalam rumah.
            Ruang tamu kelihatan kosong. Sheriena menapak masuk ke ruang makan pula. Kelihatan Mak Cik Fuziah sibuk mengemas meja makan.
            “Mak cik! Amboi sibuk mengemas sampai tak sedar saya balik ke?” tegur Sheriena. Dia seterusnya memeluk Mak Cik Fuziah dari belakang dengan erat. Pembantu rumah itu bagaikan ibu kepadanya semenjak kematian ibu angkatnya, Puan Khalisa.
            “Eh? Laa dah balik ke Sherie??” Mak Cik Fuziah mengalihkan badannya dan membalas pelukan Sheriena. Rindunya dia pada anak gadis ini.
            “Cuti sem lah mak cik… Dua bulan tau!” Pelukan dileraikan. Sheriena meliarkan matanya lagi di sekeliling ruangan rumah. “Linda mana?”
            “Datin Linda Kamilla? Ada kat atas tu..” jawab Mak Cik Fuziah sambil menjuihkan bibirnya.
            “Tak bangun lagi lah tu ye?”
            “Dia balik lambat semalam. Datuk pun dah balik dulu dah.” Mak Cik Fuziah memperlahankan nada suaranya. Takut pula ada yang mencuri-curi dengar.
            “Iye ke? Haih… tak ubah-ubahlah perangai dia tu. Dari awal kahwin sampai sekarang. Eii malas saya nak bertembung muka dengan dia.”
            “Tak apalah.. apa kata kalau Sherie pergi tukar baju, lepas tu turun bawah tolong makcik masak nak? Kita masak menu favorite papa kamu, ayam goreng berempah!”
            “Okay set! Lagi sepuluh minit saya turun!” jawab Sheriena sambil mengenyitkan matanya ke Mak Cik Fuziah.
***
JELITA menatap jam tangan Swatch yang berlingkar di tangannya. Mana dia ya? Dah pukul lapan pagi. Selalunya pukul tujuh dah tercongok kat depan café ni. Takkanlah dah serik nak jumpa dengan aku kut?
            Pelik. Hari ini bukan Asfahan yang selalu tercari-cari akan dirinya tetapi Jelita pula yang begitu. Ini memang suatu perubahan pelik yang sedang berlaku ke atas dia. Selalunya dia tidak pula begini. Takkanlah dia pula tiba-tiba sudah mula jatuh rindu dengan Asfahan?
            Jelita menggeleng-gelengkan. Dia harus lebih pandai menguruskan soal hati dan perasaan. Jikalau dia mudah jatuh cinta, alamatnya mudahlah juga dia jatuh ke lembah derita.
            Jus oren yang masih tidak terusik itu dihirupnya. Nak buat apa ya pagi ni? Rasanya banyak lagi tempat yang belum dia terokai di Cappadocia ini. Bukan senang nak datang ke mari lagi. Jikalau kerja dah menimbun nanti, nak jenguk tiket penerbangan secara online pun tak sempat!
            “Hai! Awal sampai café hari ni… Tunggu saya ye?”
            Terbantut seketika hirupan jus oren dari terus membasahi tekak. Asfahan! Datang jugak dia ni ya!
            “Hai… Tak sangka pulak awak lambat hari ni?” sindir Jelita.
            “Eh… Awak tu yang awal sangat kut. Makan apa? Hari ni nak ke mana?” Asfahan seperti biasa mengajukan persoalan-persoalannya itu dengan selamba pada Jelita. Macam wartawan gossip sepenuh masa!
            “Tak seleralah nak breakfast… emm tak tahu nak ke mana lagi ni,” jawab Jelita dengan nada yang acuh tidak acuh. Walhal dia begitu tidak sabar ingin mendengar cadangan Asfahan tentang tempat mana yang boleh mereka kunjungi di Cappadocia ini.
            “Oh…” Asfahan tersenyum. “Hmm saya ingat nak menjelajah kota Cappadocia ni. Nak ikut?”
            “Menjelajah? Awak nak sewa kereta ke?”
            “Taklah, nak naik skuter. Awak nak join?” Asfahan berharap Jelita akan menerima ajakkannya. Dia masih belum puas bersembang dengan gadis ini.
            “Skuter? Tapi…” Jelita mengerutkan dahinya. Alahai! Apa hal pulak nak naik skuter ni? Mana aku reti naik skuter!
            “Tapi… tak pandai bawak skuter?” jawab Asfahan. Dia menyeringaikan giginya yang lurus berbaris itu. “Naik dengan saya? Saya janji bawak perlahan-lahan. Tapi awak kena pegang seat skuter tu elok-eloklah. Karang terjatuh pulak.”

            Jelita mengangguk laju. Nampaknya dia dah macam terpaksa akur pula dengan cadangan Asfahan. Apa kena dengan dirinya ni? Sihir apa pulalah mamat ini dah kenakan ke atas dirinya. Jelita wake up! Wake up!


Bab-bab yang sebelumnya boleh dibaca di sesawang berikut.... http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=2619&idc=13272

Saturday, March 15, 2014

Jom kenal siapa Jelita dan Asfahan!




Mereka berdua adalah watak utama Lara Jelita.
Kita mulakan dengan...

Jelita 
Gadis sofistikated yang bekerja di syarikat kosmetik terkenal L'oreal, Paris. Wajahnya menawan dan mampu membuat setiap lelaki jatuh hati padanya. Mempunyai tunang yang bernama Ikhlas.

Asfahan 
Pemilik Empressive Design yang bercinta dengan pereka fesyen terkenal bernama Nadya. Dia mempunyai kisah silam yang rumit dan disorokkan dari pengetahuan kekasihnya.

Pabila Jelita bertemu Asfahan. Apa yang akan berlaku?
Klik link http://bit.ly/1cBGvHn ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

Friday, March 14, 2014

Promo Dia Bukan Arissa (1)




Ada yang dah baca, ada yang belum baca lagi kan novel Dia Bukan Arissa?

Meh kita nak share sedutan novel ini... mana tahu kalau minat terus melompat ke kedai buku~!

DIA BUKAN ARISSA

Tiba-tiba iPhone milik Arissa berbunyi. Arlisa sedikit cemas apabila melihat nama yang tertera ialah Adam Farhan. Setelah beberapa saat dia menatap telefon itu, barulah dia menjawabnya.

“Helo...” jawab Arlisa perlahan.

“Helo, dear! You kat mana ni? I dah tunggu you kat balai menunggu ni.” Suara Adam jelas kedengaran. 

“I... I baru sampai.” Arlisa menjawab teragak-agak. Dia masih lagi takut dengan realiti yang sedang dia hadapi nanti.

“Oh... I nampak you.” Adam memandang tepat ke arah kelibat seseorang yang memakai blaus putih dan seluar slack hitam. Wanita itu kelihatan seperti dalam kekeliruan dan tercari-cari sesuatu.

“Mana?” Arlisa cemas. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Tiada sesiapapun yang menyerupai wajah Adam yang dia lihat di gambar sebelum ini.

“Turn back please, dear...” Adam tersenyum melihat gelagat isterinya yang bagai rusa masuk kampung. Terpandang-pandang sana sini. “I’m herelah, sayang!”

“Okey.” Hati Arlisa terasa seperti mencucuk-cucuk. Adakah dia sudah bersedia? TUHAN, tolonglah... Dia memejamkan matanya. Come on, Arlisa! Toleh cepat!

Arlisa menoleh ke belakang. Terlihat dua orang manusia sedang tersenyum manis. Seorang lelaki dan seorang lagi budak perempuan yang comel. Kedua-duanya sedang ketawa kecil melihat dirinya. Manakala dia seperti orang dalam khayalan. 

“Mama!” Ameera datang memeluk ke kaki Arlisa.

Arlisa tersenyum dan cuba mengawal perasaan. Dia menunduk dan mencium pipi kanak-kanak berkenaan. Comel! Seketika dia bangun dan bersedia untuk menyalami Adam walaupun hatinya masih belum rela. Namun, sesuatu yang tidak terjangka telah dilakukan Adam. Adam telah memeluk dirinya dengan erat tanpa dia sempat melakukan apa-apa! 

Dia tergamam seketika. Dia cuba menolak badan Adam ke belakang, namun dia tidak mampu merungkaikan dakapan tersebut. Dakapan itu terlalu erat. Lalu, dia cuba untuk menggunakan taktik lain.

“Adam, I tak selesa...” Arlisa cuba meloloskan dirinya dari pelukan Adam.

“Oh, I’m sorry. You mesti letih kan?” Adam meleraikan pelukan.

Arlisa hanya mengangguk perlahan. Lalu dia menghela nafas panjang. Ya ALLAH, akhirnya! Dia melepaskan aku. Tangannya sedikit menggeletar. Tidak pernah seumur hidup seorang lelaki mendakap dirinya sebegitu erat. Lain kali aku harus lebih berhati-hati.

Untuk membaca bab-bab yang lain jom klik link ini ..... http://bit.ly/1hhS18i

Thursday, March 13, 2014

Selamat Datang! Jendela Cerita Kini Berwajah Baru!



Bagai bunga mawar yang mekar di taman setelah dibaja dan disiram, akhirnya ia pulih semula seperti sediakala! Jendela Cerita membuka cahaya baru bagi tahun 2014 setelah beberapa tahun tidak beroperasi. 

Oleh yang demikian, Syaida ingin memulakan post yang pertama ini dengan ucapan aluan dan selamat datang bagi yang baru berkunjung. Jendela ini bakal menjadi rumah yang akan menyebarkan berita-berita serta nukilan terbaru dari Syaida serta sekaligus merapatkan hubungan kita sesama manusia.

Dengan itu Syaida ingin mengakhiri post ini dengan sedikit sedutan novel yang masih dalam pembikinan... 

LARA JELITA

BAB 1

HUJAN membasahi bumi Cappadocia. Inilah kali pertama setelah hampir lima tahun di perantauan Asfahan merasai hujan selebat itu. Hujan yang tidak terduga turunnya. Tak ada ribut mahupun guruh sebagai penanda. Tiba-tiba saja sudah lencun seluruh badannya.
            Orang kata bumi Cappadocia mempunyai laras cuaca yang tidak menentu. Sungguhpun dalam musim sejuk, tiba-tiba cahaya matahari boleh terbit membahang di sebalik kepulan awan tebal. Kadang-kadang pula kabus menyelubungi corong-corong guanya, tetapi pada sebelah petang langit membiru seperti musim sejuk bakal berakhir. Begitu jugalah dengan hari ini. Hujan turun tak semena-mena. Entah apa petanda yang dibawanya.
            Asfahan duduk berlindung di bawah atap salah sebuah restoran yang terkenal di Cappadocia. Beberapa hari yang lepas dia ada menjamu selera di sini. Ternyata masakan selera Mediterraneannya memang sedap. Bagi Asfahan, Cappadocia adalah di antara destinasi percutian yang terindah. Esok, jikalau cuaca dalam keadaan baik, dia bercadang untuk menaiki belon udara. Suatu aktiviti wajib bagi sesiapa saja yang datang bercuti ke Cappadocia.
            Hujan masih belum mahu berhenti. Sudah hampir sepuluh minit dia menunggu. Kalau diikutkan hati mahu saja dia meredah hujan ini. Hotel Kelebek yang didiaminya itu tidaklah jauh mana. Hanya tinggal beberapa meter saja dari restoran ini. Ah! Berapa lama lagi aku harus menunggu?
            Ketang! Bunyi tersebut menyentap jantung Asfahan secara tiba-tiba. Ada orang lain yang berteduh di sini selain dirinya. Asfahan tertoleh-toleh ke belakang. Tercari-cari kelibat manusia yang senasib dengan dirinya.
            “Who’s there?” tanya Asfahan. Dia berjalan ke lorong belakang restoran. Hujan yang kini sudah mula merintik ke badannya dibiarkan begitu saja. Perasaan ingin tahunya itu telah membatasi segala-galanya.
            Seorang wanita berkot putih paras lutut keluar dari tempat persembunyian. Dia memegang sekaki payung lutsinar putih dan berkasut but hitam. Rambut hitamnya diikat sanggul siput dan bibir mungilnya pekat dengan calitan lipstik merah. Mata bundarnya teragak-agak hendak memandang tepat ke mata Asfahan. Mungkin dia masih kurang yakin sama ada dia boleh mempercayai Asfahan ataupun tidak.
            “Miss? Are you okay? What are doing here? At this… dark place?” Memang lorong belakang restoran ini agak bahaya tempatnya. Gelap dan boleh mengundang pelbagai jenis jenayah. Bagi wanita secantik dia, ia adalah suatu perkara pelik untuk berlindung di ceruk lorong begini. Sedangkan Asfahan sendiri berteduh di hadapan pintu restoran yang agak cerah suasananya. Kalau apa-apa terjadi, mudah baginya untuk menyelamatkan diri.
            “You need an umbrella?” Wanita itu tidak menjawab pertanyaan Asfahan. Dia menghulurkan payung lutsinarnya kepada Asfahan dan meleretkan senyuman kecil. Asfahan mengagak mungkin wanita ini tidak memahami apa yang diperkatakannya.
            “Thank you. I think I’d better send you to your hotel. Where is your hotel?” Asfahan membuka payung yang telah diberikan kepadanya. Dia berharap kali ini wanita itu menjawab pertanyaannya dengan betul. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menghantarnya pulang dengan selamat.
            “Kelebek. Hotel Kelebek.”
            “Oh that’s my hotel too!” Nasib baiklah dia faham pertanyaan aku tadi. Untunglah juga dia tinggal satu hotel dengan aku rupanya. Boleh tumpang payung sekali kan?
            “Thank god! Well.. I’m Jelita!” Wanita itu menghulurkan tangannya kepada Asfahan. Wajahnya tak lekang dengan senyuman. Sungguh manis dan menawan. Buat seketika waktu, fikiran Asfahan melayang entah ke mana-mana.
            “What? Sorry, I’m not listening..”
            “Jelita! My name is Jelita.”
            “Jelita?!” Nama orang Melayu. Entah-entah orang Malaysia. Kalau tak Malaysia mesti warganegara Indonesia ataupun Singapura. “Awak orang Melayu ke?” .........


Untuk mengetahui apa yang terjadi seterusnya.... jom klik link ini  http://bit.ly/1fyMxbu