Monday, July 25, 2011

Kenangan Ramadhan Lalu

Bila Ramadhan bakal menjelma, aku sering teringat saat-saat menyambut Ramadhan yang terdahulu. Bayangan kenangan dahulu, tak mungkin ku lupakan. Kini semua hanya tinggal kenangan. Bertahun-tahun masa sudah berlalu. Tinggal aku kini mendewasa dengan penuh kekuatan dan kebeningan dari masa lalu.
Ramadhan datang lagi, tanpa rasa gentar. Memberi seribu makna dalam hidupku. Memberi aku waktu untuk bertafakur, berfikir sejenak dan menumpukan cinta pada Yang Maha Esa.


Kenangan Lalu..



Aku terbangun dari tidur sebaik mendengar suara serak yang semakin lama semakin mentua. Dia tanpa rasa malas dan bosan, terus mengejutkanku dari tidur. Dia selalu terbangun awal kerana cintanya kepada Yang Esa. Menunaikan solat tahajjud, berdoa dan membaca Al-Quran sehabis mampu. Dia jugalah yang bertungkus lumus menyediakan makanan sahur. Dia yang sering mengingatkan kami untuk membaca niat puasa. Dialah yang paling gembira bila aku tidur disisinya serta menemani saat-saat akhir hidupnya. Kini, dia telah tiada. Menyahut seruan dari Illahi. Sudah dua tahun tanpanya, aku telah menjadi yang lebih baik daripada dahulu kerana telah aku pelajari erti hidup yang tak ternilai ini. Mengenangkannya, membuatku sebak. Kerana Nenda, kau wanita besi yang punya kisah-kisah sedih yang selalu dipendam rapat dan menangisi tatkala kau tak mampu bertahan lagi. Aku rindukan Nenda, yang selalu menemaniku bersahur dan berbuka saat hanya kami berdua tinggal di teratak syurga.

Bila Ramadhan menjelma, zaman kanak-kanak ku adalah yang paling menggembirakan. Kami diberi pilihan memilih pakaian untuk Raya nanti. Kesana kemari ayahanda dan bonda bawa kami. Tanpa lelah dan hanya sedikit rungutan mereka memenuhi impian permata hati mereka ini. Bila pulang dari membeli belah, kami bagaikan model-model yang memperagakan pakaian Raya tahun ini. Kami persembahkan pakaian yang dibeli untuk kepuasan diri dan tatapan Nenda. Sungguh aku rindu saat itu. Namun kedewasaan telah menghapus dikit-dikit saat itu.




Melaka tanah Hang Tuah adalah tanah seribu pengalaman dan cinta yang tak ternilai bagiku. Meskipun, aku tidak tinggal di sana lagi, namun kenangan Ramadhan disana amat menggamit memori. Ramadhan bulan yang dinanti-nantikan kerana tiap-tiap hari ada bazaar Ramadhan dalam kampus, teman dan sahabat baik boleh berbuka dan bersahur sama-sama dan tidak dilupakan kami juga boleh beribadat bersama. Bila detik tinggal lagi sejam dua untuk berbuka,kami keluar membeli juadah di bazaar. Kemudian ramai-ramai berkumpul di satu bilik untuk berbuka bersama-sama. Bila saat nak bersahur pula, kami kadang-kadang tak tidur sampai pagi kerana buat assignment dan terus bersahur. Tapi aku yang jenis tidur awal ini, selalu akan ketiduran dahulu dan kemudian bangun semula pada pukul 4.45 pagi. Kami bertiga, kemudiannya akan turun ke café untuk beli makanan sahur. Mata masih terpisat, menguap jangan katalah, muka pun sah-sah rupa baru bangun tidur! Bila nampak sang jejaka idaman hati, cepat-cepat aku cergaskan wajah dan control diri biar nampak steady. Namun semua hanya tinggal kenangan, kini aku di kota ilmu Shah Alam. Selamat tinggal Melaka kini, esok-esok mungkin aku jengah lagi.

No comments:

Post a Comment