Saturday, July 2, 2011
Review Sutera Bidadari by Ramlee Awang Murshid
Setelah mengambil masa lebih kurang 2 bulan untuk menghabiskan naskah coretan Ramlee Awang Murshid atau lebih senang digelar RAM, akhirnya Sutera Bidadari sudah dikhatam pembacaannya. Sekilas komentar mengenai novel ini, ia sangat mendebarkan dan masih ada lagi yang belum terungkap. Sunan atau Saifudin tetap menjadi tunjang utama dalam novel ini dan watak heroin masih dipegang oleh Mariam atau di novel yang terdahulu dia lebih dikenali sebagai Catalina, balu berbangsa Portugis yang akhirnya memeluk Islam.
Bagi yang belum membaca novel ini, anda pasti tertanya-tanya adakah novel kali ini lanjutan dari kisah Cinta Sufi bakal menjawab segala persoalan yang bermain dibenak anda? Persoalan utama pastinya mengenai Sunan sendiri, sama ada memilih Luna ataupun Mariam sebagai suri di hatinya. Manakala persoalan yang lain pula lebih menuju kepada misi perjuangan Saifudin dalam memerangi Taghut dan sekutu-sekutunya, adakah akhirnya Saifudin akan berjaya?
Namun sangkaan anda bakal meleset kerana persoalan pertama mengenai kisah cinta Saifudin sekali lagi tergantung. Wujud pula watak lain yang bakal mengelirukan pembaca. Sang Dewi yang sering memanggil-manggil Sunan ke alam mimpi telah menjadi penghalang cinta Luna dan Mariam ke Saifudin. Saya tidak mahu merungkai pengakhiran novel ini, tetapi sebagai hint anda pasti tidak akan menyangka bahawa Sang Dewi adalah seorang yang seakan-akan sudah mati tetapi hidup kembali.
Mengenai Taghut serta pertarungannya dengan Saifudin, anda mungkin juga tidak menyangka bahawa Taghut yang disangka gagah perkasa akhirnya tewas di tangan Sunan dengan begitu mudah. RAM yang cerdik dalam bermain muslihat dengan pembaca bakal memberikan beberapa kejutan kepada anda. Watak baru seperti Saifullah, Abid Kamal dan Shahril adalah diantara kejutan yang tidak disangka-sangka. Jangan terlalu percaya dengan sikap Saifullah, kerana dia bukanlah yang anda sangkakan.
Sebagai kesimpulan, novel Sutera Bidadari ini adalah a must to read to all RAM’s fan. Bagi yang mengikuti perjalanan trilogy Bagaikan Puteri ini, novel kali ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan novel terdahulu, Cinta Sufi. Kadang-kadang saya ada juga terasa bahawa karya-karya RAM ini patut diangkat menjadi sebuah filem kerana jalan ceritanya yang hebat dan sentiasa menerapkan elemen-elemen Islami melalui watak Saifudin. Mungkin KRU boleh mempertimbangkannya? Dan tidak juga dilupakan, masih adakah kesinambungan trilogy ini? Kisah cinta Saifudin yang masih tergantung tetap menjadi minat utama pembaca. Saya dan peminat RAM sentiasa menantikan pengakhiran yang kemas bagi Trilogi Bagaikan Puteri ini dari Ramlee Awang Murshid.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment