Thursday, March 13, 2014

Selamat Datang! Jendela Cerita Kini Berwajah Baru!



Bagai bunga mawar yang mekar di taman setelah dibaja dan disiram, akhirnya ia pulih semula seperti sediakala! Jendela Cerita membuka cahaya baru bagi tahun 2014 setelah beberapa tahun tidak beroperasi. 

Oleh yang demikian, Syaida ingin memulakan post yang pertama ini dengan ucapan aluan dan selamat datang bagi yang baru berkunjung. Jendela ini bakal menjadi rumah yang akan menyebarkan berita-berita serta nukilan terbaru dari Syaida serta sekaligus merapatkan hubungan kita sesama manusia.

Dengan itu Syaida ingin mengakhiri post ini dengan sedikit sedutan novel yang masih dalam pembikinan... 

LARA JELITA

BAB 1

HUJAN membasahi bumi Cappadocia. Inilah kali pertama setelah hampir lima tahun di perantauan Asfahan merasai hujan selebat itu. Hujan yang tidak terduga turunnya. Tak ada ribut mahupun guruh sebagai penanda. Tiba-tiba saja sudah lencun seluruh badannya.
            Orang kata bumi Cappadocia mempunyai laras cuaca yang tidak menentu. Sungguhpun dalam musim sejuk, tiba-tiba cahaya matahari boleh terbit membahang di sebalik kepulan awan tebal. Kadang-kadang pula kabus menyelubungi corong-corong guanya, tetapi pada sebelah petang langit membiru seperti musim sejuk bakal berakhir. Begitu jugalah dengan hari ini. Hujan turun tak semena-mena. Entah apa petanda yang dibawanya.
            Asfahan duduk berlindung di bawah atap salah sebuah restoran yang terkenal di Cappadocia. Beberapa hari yang lepas dia ada menjamu selera di sini. Ternyata masakan selera Mediterraneannya memang sedap. Bagi Asfahan, Cappadocia adalah di antara destinasi percutian yang terindah. Esok, jikalau cuaca dalam keadaan baik, dia bercadang untuk menaiki belon udara. Suatu aktiviti wajib bagi sesiapa saja yang datang bercuti ke Cappadocia.
            Hujan masih belum mahu berhenti. Sudah hampir sepuluh minit dia menunggu. Kalau diikutkan hati mahu saja dia meredah hujan ini. Hotel Kelebek yang didiaminya itu tidaklah jauh mana. Hanya tinggal beberapa meter saja dari restoran ini. Ah! Berapa lama lagi aku harus menunggu?
            Ketang! Bunyi tersebut menyentap jantung Asfahan secara tiba-tiba. Ada orang lain yang berteduh di sini selain dirinya. Asfahan tertoleh-toleh ke belakang. Tercari-cari kelibat manusia yang senasib dengan dirinya.
            “Who’s there?” tanya Asfahan. Dia berjalan ke lorong belakang restoran. Hujan yang kini sudah mula merintik ke badannya dibiarkan begitu saja. Perasaan ingin tahunya itu telah membatasi segala-galanya.
            Seorang wanita berkot putih paras lutut keluar dari tempat persembunyian. Dia memegang sekaki payung lutsinar putih dan berkasut but hitam. Rambut hitamnya diikat sanggul siput dan bibir mungilnya pekat dengan calitan lipstik merah. Mata bundarnya teragak-agak hendak memandang tepat ke mata Asfahan. Mungkin dia masih kurang yakin sama ada dia boleh mempercayai Asfahan ataupun tidak.
            “Miss? Are you okay? What are doing here? At this… dark place?” Memang lorong belakang restoran ini agak bahaya tempatnya. Gelap dan boleh mengundang pelbagai jenis jenayah. Bagi wanita secantik dia, ia adalah suatu perkara pelik untuk berlindung di ceruk lorong begini. Sedangkan Asfahan sendiri berteduh di hadapan pintu restoran yang agak cerah suasananya. Kalau apa-apa terjadi, mudah baginya untuk menyelamatkan diri.
            “You need an umbrella?” Wanita itu tidak menjawab pertanyaan Asfahan. Dia menghulurkan payung lutsinarnya kepada Asfahan dan meleretkan senyuman kecil. Asfahan mengagak mungkin wanita ini tidak memahami apa yang diperkatakannya.
            “Thank you. I think I’d better send you to your hotel. Where is your hotel?” Asfahan membuka payung yang telah diberikan kepadanya. Dia berharap kali ini wanita itu menjawab pertanyaannya dengan betul. Sekurang-kurangnya dapatlah dia menghantarnya pulang dengan selamat.
            “Kelebek. Hotel Kelebek.”
            “Oh that’s my hotel too!” Nasib baiklah dia faham pertanyaan aku tadi. Untunglah juga dia tinggal satu hotel dengan aku rupanya. Boleh tumpang payung sekali kan?
            “Thank god! Well.. I’m Jelita!” Wanita itu menghulurkan tangannya kepada Asfahan. Wajahnya tak lekang dengan senyuman. Sungguh manis dan menawan. Buat seketika waktu, fikiran Asfahan melayang entah ke mana-mana.
            “What? Sorry, I’m not listening..”
            “Jelita! My name is Jelita.”
            “Jelita?!” Nama orang Melayu. Entah-entah orang Malaysia. Kalau tak Malaysia mesti warganegara Indonesia ataupun Singapura. “Awak orang Melayu ke?” .........


Untuk mengetahui apa yang terjadi seterusnya.... jom klik link ini  http://bit.ly/1fyMxbu


No comments:

Post a Comment