Wednesday, July 2, 2014

FRAGMEN 2 - AKULAH SI JELITA!


FRAGMEN NOMBOR 2!


“AWAK tahu ke bawak skuter ni?”

Jelita seperti kurang yakin dengan kebolehan Asfahan Redza. Dahlah menunggang skuter tersemput-semput. Nak naik bukit berbatu ni pun lebih dari setengah jam!

“Tahulah! Saya ada lesen motor tau. Jangan ingat saya ni tak reti bawak motor.” Asfahan mencebik. Duduk jelah diam-diam kat belakang tu. Banyak cakap pulak Cik Jelita kita ni!

“Hmm... ada lesen aje buat apa kalau jarang-jarang bawak. Entah-entah... dah bertahun awak tak bawak motor tak?” sindir Jelita lagi. Matanya menjeling tajam. Rasa sia-sia pula ikut perancangan Asfahan yang dikatakan ‘superb’ ini.

Kedua-duanya mengunci bicara. Masing-masing menahan panas di hati. Dari sudut diri Asfahan, Jelita dirasakan berlagak jual mahal. Mentang-mentang dia tahu ada orang sukakannya, mulalah nak buat macam-macam ragam. Manakala Jelita pula merasakan Asfahan sering berpura-pura dengannya. Sengaja berbuat baik hanya kerana ingin menambat sekeping hati miliknya.

“Pemandangannya dari bawah ni biasa-biasa aje...” bicara Jelita secara tiba-tiba. Matanya meneroka setiap sudut tanah lapang yang terbentang di Cappadocia. Pemandangan berselang-selikan pepohon renek hijau dan juga batuan berpasir membuatkan dia mudah berasa bosan.

“Biasa-biasa bagi awak. Tapi bagi saya, ia adalah suatu pengalaman yang menarik dan menenangkan. Nanti saya bawa awak naik ke Kaymakli Underground City,” jawab Asfahan dengan nada lembut. Kalau diikutkan hatinya memang dia tidak mahu bertekak lagi dengan Jelita. Tapi gadis ini ada saja poin untuk menyindirnya.

“Ada apa kat situ?”

Skuter yang diboncengi mereka mula menuruni kaki bukit yang berpasir. Asfahan menoleh sedikit ke belakang dan mengarahkan Jelita memegang erat besi pemegang yang berada di belakang skuter.

Nasib baiklah ada besi pemegang. Kalau tak memang tidaklah dia menaiki
skuter bersama Asfahan. Takkan pula dia nak berpaut erat di belakang tubuh jejaka ini? Awkward! getus hati Jelita.

“Underground City yang kita nak pergi ni dah dibuka pada tahun 1964. Di dalamnya ada lebih kurang lapan tingkat bawah tanah, tapi empat aje yang dibuka kepada orang awam. Kat dalam tu basically, awak boleh merasalah macam mana orang dulu-dulu duduk di dalam gua. Dia orang ni dulu famous dalam bidang membuat tembikar...” jelas Asfahan panjang lebar. Gemar pula dia bercerita mengenai sejarah.

“Oh... macam mana awak tahu tentang semua ni, eh?” Jelita terkebil-kebil mendengar penjelasan Asfahan. Pandai jugak mamat ni!

“Saya bacalah, awak. Sebelum saya sampai sini... saya dah buat research dulu. Tempat mana yang mesti saya pergi selama saya ada di Cappadocia ni.”

“Hmm... untunglah kekasih awak, kan? Ada boyfriend yang bijak macam awak ni.”

“Ha’ah... memang dia beruntung.” Asfahan tersenyum mendengar pernyataan yang terkeluar daripada lidah Jelita. Dia pulak yang nak ‘test market’ sekarang nampaknya!

“What? Jadi awak memang ada girlfriend?” Jelita seperti tidak percaya dengan kata-kata Asfahan.

“Yalah. Awak ingat saya main-main ke?”

“Lepas tu, awak keluar dengan saya macam ni? Mesti dia mengamuk kalau dia tahu ni!” Wajah Jelita mulai memerah. Cis! Memang semua lelaki sama saja. Tak ada erti kata berbeza atau berubah!

“Dia dah mengamuk pun... Eh!”
Skuter yang mereka naiki mula terhincut-hincut. Ia kemudiannya semakin menderas menuruni bukit. Asfahan cuba menarik pedal brek, namun tidak berhasil.

“Eh, kenapa ni? Awak, kita berhentilah!” Jelita mulai resah. Makin lama, makin laju pula skuter ni. Macam tidak mahu berhenti. Bahaya!

“Kita tak boleh nak berhenti! Brek tak makan!” jerit Asfahan. Skuter yang dinaiki mereka mulai melelong. Tayar skuter itu tidak dapat bertahan dengan lebih lama lagi. Kemungkinan mereka bakal terbabas atau menjunam turun dari kaki bukit yang berbatu-bata ini.

“Jelita! Awak pegang besi pemegang kat belakang seat tu kuat-kuat! Saya nak tahan skuter ni dengan kaki saya!” arah Asfahan dengan suara kuat.
Jelita mula perit menelan air liur. Menyesal! Menyesal aku ikut dia tadi! Kalau tahu benda ni nak terjadi, memang dia tak adalah beria-ia nak ikut lelaki separa sewel ini.

Asfahan mengeluarkan kaki kanannya ke tanah yang berbatu-batan itu. Skuter itu digelecekkan ke sebelah kanan lalu lutut kanannya digunakan sebagai penahan untuk memberhentikan skuter itu.

“Argh!” Jelita menjerit sambil memejamkan mata. Wajahnya disorokkan ke belakang tubuh Asfahan.

Akhirnya, mereka berdua tercampak ke tanah bersama-sama dengan skuter yang dinaiki. Tubuh Asfahan tergolek beberapa meter ke hadapan. Manakala Jelita pula hanya tercampak lima kaki dari skuter yang dinaiki mereka.

“Asfahan!” panggil Jelita. Matanya dimasuki debu-debu kecil, namun dia masih boleh bangun dan mulai merangkak untuk mencari jasad Asfahan. Mujurlah dia tidak cedera apa-apa terutama pada wajah yang halus mulus ini. Cuma tangan dan kakinya saja sedikit calar-balar.
Jelita terus merangkak lagi. Tubuh Asfahan cuma beberapa kaki saja daripada dirinya. Ya ALLAH, masih hidupkah lelaki ini? Janganlah apa-apa terjadi kepadanya!

“Asfa... Asfahan!” panggil Jelita lagi. Namun, Asfahan masih tidak menyahut. Jelita menggagahkan lagi kudratnya untuk terus mendekati Asfahan.

Alangkah terkejutnya dia apabila tubuh jejaka itu didekati. Astaghfirullah! Kepala lelaki ini berdarah. Darah yang keluar makin lama makin melimpah. Apa yang harus dia lakukan?

Jelita mula menangis teresak-esak. Dia seperti orang yang kehilangan arah. Tidak tahu apa yang seharusnya dia lakukan.

“Help! Help me! Help me, please!”
Hanya perkataan itu yang bisa keluar dari mulutnya yang semakin tumpul daripada kata-kata...

No comments:

Post a Comment