Wednesday, July 2, 2014

FRAGMEN AKULAH SI JELITA


Assalamualaikum dan Hello semua! Macam dah lama jugaklah Syaida ni tenggelam timbul, tenggelam timbul kat alam blog ni kan...

Tapi hari ni Syaida timbul kembali untuk mempromosikan novel terbaru yang bertajuk --- AKULAH SI JELITA! Yeay!

Dalam beberapa hari pada setiap minggu, Syaida akan post fragmen-fragmen menarik dari novel ini. Korang semua free to comment on anything. Kalau nak tanya apa-apa pun boleh. 

So here I present to you... the first fragment for today. Enjoy!


ASFAHAN si pematah hati? Setelah sekian lama bercinta dengan NADYA, mudah pula dia memutuskan cinta mereka kerana sudah terpaut dengan JELITA. 

Nak tahu apa yang terjadi? Jom baca fragmen kali ini!

Fragmen AKULAH SI JELITA 1

LA SOPHIA yang terletak di Golbourne Road, London menjadi tempat pilihan Nadya untuk menikmati makan malam bersama Asfahan. Restoran ini merupakan satu-satunya restoran yang menyediakan makanan Perancis yang halal.

Asfahan dan Nadya memilih meja yang berdekatan dengan jendela. Langsir restoran yang bercorak mewah serta dindingnya yang diwarnakan emas dan perak itu menimbulkan aroma romantis di hati Nadya, namun sebaliknya pula dengan Asfahan. Asfahan sedang berdepan dengan gelora di hatinya. Antara hendak diluah ataupun disimpan begitu saja.

Ah, tapi sampai bila pulak nak simpan perasaan cinta yang melimpah ni? Kalau terlambat melepas! getus hati Asfahan. Dia yakin suatu masa nanti, Nadya akan mengetahuinya juga. Bila dia dan Jelita bersatu nanti, semua orang akan tahu juga. Jadi, sampai bila?

Selepas membuat pesanan makanan, Nadya mula melingkarkan tangannya ke jemari Asfahan. Dia ingin mengembalikan saat bahagia sewaktu mereka hangat bercinta dulu. Terimbau-imbau pula kenangan pertama kali dia bertemu dengan Asfahan Redza di parti masquerade hampir tiga tahun dahulu.

“Nad...” Asfahan mula menarik tangannya daripada terus dipegang Nadya. Dia berasa tidak selesa. “Sebenarnya I ada perkara yang dibincangkan dengan you.”

“Perkara apa?” Nadya rasa lain dengan sikap Asfahan. Kekasihnya tidak pernah serius seperti ini. Sejak pulang dari Cappadocia, Asfahan telah berubah menjadi seorang yang dingin terhadapnya.

“Tentang kita.”

“Kenapa dengan kita? You nak melamar I ke?” tebak Nadya. Dia mula mengulum senyuman.

“Bukan. Tentang hubungan kita yang I rasa semakin berantakan.”
Nadya terdiam seketika. Berantakan? Maksudnya, semakin retak? “Bila masa hubungan kita berantakan?”

“Sekarang ni, I rasa kita dah tak sefahaman macam dulu. You mungkin tak rasa begitu. Tapi I mula merasakan yang hati I ni... hati I ni semakin jauh dari perasaan yang dulu I rasakan terhadap you. Cinta kita semakin hambar dan tiada penghujungnya, Nadya,” kata Asfahan sambil menoktahkan kata-katanya dengan hirupan air kosong yang disediakan di atas meja. Lega. Terkeluar juga ayat-ayat itu dari mulutnya.

“No!” Nadya mula meninggikan suaranya. Dia sedar akan kehadiran orang sekeliling yang memandang, namun dia tidak kisah. Hatinya terluka. Sampai hati Asfahan buat begini kepadanya. Setelah sekian lama dan terlalu banyak pengorbanan yang dia lakukan, Asfahan memang tidak pernah menghargai satu pun daripadanya!

“Bantahlah ataupun marahlah... salahkanlah I sebanyak mana pun. I dah tak kisah. I rasa hubungan kita sampai di sini saja.” Berat hatinya dengan tindakan yang dilakukan. Tapi, apa yang dia harus lakukan lagi? Dia tidak lagi mencintai Nadya. Hatinya kini terpaut kepada Jelita.

“You kejam! Kejam sangat-sangat Asfahan. I cintakan you dengan sepenuh hati I. I sanggup menipu papa you demi kesenangan hidup you. But this is what I get?! How could you? Tegar sungguh hati you ya!” Air mata mulai merembes keluar dari kolam mata Nadya. Hatinya memang terluka. Dia tidak sangka Asfahan sanggup meninggalkannya.

“Nad...” Asfahan mencengkam kedua-dua telapak tangan Nadya. Dia cuba menenangkan gadis itu. Pengunjung restoran mula memandang serong terhadapnya. Lelaki yang membuatkan seorang gadis menangis. Kejam sungguh!

“Apa lagi yang tak cukup pada I? You beritahu I! Semua yang tak ada pada isteri you tu ada pada I, kan? You yang kata dulu, kan? Cuba you beritahu I, kenapa kita perlu berpisah?” Suara Nadya masih berserak. Air mata yang meleleh ke pipi juga masih belum berhenti.

“Bukannya kerana kelemahan you, Nad. Tapi sebab...” Asfahan memandang ke bawah. Patutkah dia tahu? “I cintakan orang lain.”
Nadya menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian, dia menangis dengan lebih kuat. Habis tisu yang tersedia di atas meja digunakannya untuk mengelap air mata. “Cinta orang lain? Siapa perempuan yang hebat sangat tu? Kat mana you kenal dia? Bila you bercinta dengan dia?!” tanya Nadya bertubi-tubi.

“Dia... I kenal masa kat Cappadocia. She’s nice, beautiful... I tak tahu... macam mana nak gambarkan dia. Namanya, Jelita.” Tergagap-gagap Asfahan dibuatnya. Nadya memang benar sedang naik angin!

“What? Kat Cappadocia? Patutlah... patutlah you asyik mengelamun lepas tu dingin dengan I.” Nadya mengelap air mata pantas. Dia berhenti menangis. “Dah, I nak balik. Don’t ever try to say sorry to me! I takkan berpisah dengan you. Dan I akan pastikan si Jelita tu akan menyesal sebab cuba rampas you daripada I!”

Nadya bangun dari kerusi yang didudukinya. Dia terus menuju ke pintu keluar restoran dan mula menahan teksi.

“Eh, Nad! Tunggu! Biar I hantarkan you.” Asfahan mengejar Nadya. Saat Nadya masuk ke dalam perut teksi yang ditahannya, Asfahan menarik lengan Nadya.

“Lepas! Kalau tak I jerit panggil polis,” ugut Nadya.

Asfahan terpaksa membiarkan Nadya pergi. Hatinya juga sedih dengan
tindakan melulu yang diambilnya. Entah betul, entah tidak. Entah Jelita
akan menghargainya ataupun tidak.

OH ASFAHAN!


No comments:

Post a Comment